Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Lapan kes yang telah disahkan positif COVID-19 ketika ini berada dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi), manakala terdapat tiga kes dalam kategori 5 (memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di unit rawatan intensif) yang mana dua daripadanya adalah kes baharu.
“Selain itu satu kes yang disahkan positif COVID-19 telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam yang lalu,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato berkata mangsa merupakan seorang lelaki berumur 88 tahun yang tidak mendapatkan vaksin dan telah mengalami masalah pernafasan disebabkan oleh jangkitan COVID-19.
“Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dalam menghadapi pemergiannya,” tambahnya.
Sementara itu, hari ini, sebanyak 3,721 kes jangkitan baharu telah dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 48,055 orang.
“Daripada jumlah tersebut, 2,980 adalah hasil ujian ART yang telah dimuatnaik ke portal Kementerian Kesihatan manakala 741 adalah daripada 4,025 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” jelasnya.
Sejak gelombang ketiga bermula awal Februari ini, beliau berkata seramai 1,574 kes (7.6 peratus) daripada keseluruhan kes positif itu adalah kanak-kanak berumur lima tahun ke
“Setakat ini, tidak ada kanak-kanak dalam kumpulan umur ini telah dikategorikan dalam kategori 3, 4 atau 5,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, 875 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 23,593 kes manakala jumlah kes aktif sebanyak 24,349 kes.
Seterusnya Yang Berhormat Dato mengongsikan ketika ini, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate pada masa ini ialah sebanyak 7 peratus di mana 166 kes aktif sedang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan berkenaan.
Manakala, sebanyak 23,934 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Bagi pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa setakat kelmarin (23 Februari), bagi mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 52.9 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini manakala kadar satu dos dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.
“Dalam pada itu, terdapat 162 kluster aktif yang sedang di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan, yang mana tidak ada kluster baharu yang melibatkan tempat perniagaan atau tempat awam dikesan pada hari ini,” katanya.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kepada orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT agar Brunei serta semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan dari segala penyakit khususnya penyakit COVID-19.