Lebih 23,000 pelajar hadir sesi persekolahan peringkat pertama

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Seramai 23,103 orang pelajar melibatkan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu 25.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di Negara Brunei Darussalam bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah memulakan sesi persekolahan mereka bagi peringkat pertama.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dalam kenyataannya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dengan pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat bagi bahagian kedua sesi persekolahan penggal ke-2, sesi pembelajaran dan pengajaran secara fizikal atau face to face telah dimulakan secara berperingkat.

“Semua sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab-maktab, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah-sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei di bawah kawalan Kementerian Pendidikan termasuk semua sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta sekolah-sekolah swasta telah memulakan sesi pengajian pada 2 Jun lepas,” jelasnya.

Pada minggu pertama sekolah dibuka, seramai 91.5 peratus pelajar telahpun hadir secara face-to-face di sekolah masing-masing. Jumlah tersebut telah memperlihatkan komitmen dan kepercayaan para ibu bapa dan penjaga kepada pihak sekolah dengan menghantar anak- anak mereka ke sekolah walaupun negara masih lagi dalam situasi menangani pandemik COVID-19.

“Dalam memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah, pihak sekolah sentiasa menekankan dua aspek penting iaitu mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri serta premis sekolah.

“Selain itu, pihak kementerian juga melaksanakan pemantauan secara berterusan menggunakan online reporting. Hasil daripada pemantauan awal, telah mendapati kesungguhan warga sekolah (tenaga pengajar dan pelajar) mematuhi garis panduan yang telah disediakan oleh pihak sekolah dalam memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan dalam menghindari penularan wabak COVID-19,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, setakat ini, semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telahpun mengaktifkan kod QR sepertimana yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Penggunaan kod QR dapat membantu pihak sekolah memantau tahap kesihatan guru dan kakitangan sekolah dan membahagikan mereka kepada kumpulan vulnerable dan non-vulnerable.

“Bagi mereka yang dalam kategori vulnerable, tertakluk kepada budi bicara pemimpin sekolah masing-masing dalam menyusun jadual pengajaran guru-guru dalam memastikan kesejahteraan guru-guru dan warga sekolah adalah terjamin,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Beliau juga menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan sentiasa memantau perlaksanaan secara berterusan dalam memastikan perlaksanaan sesi pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan teratur.

“COVID-19 telah banyak mengubah corak tatakerja seharian dan tidak terkecuali jua bidang pendidikan.

Dari yang demikian, pihak Kementerian Pendidikan yakin bahawa pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian adalah sejajar dengan pendekatan era Revolusi Perindustrian 4.0 dan merupakan hala tuju ke hadapan bagi bidang pendidikan,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Oleh itu, menurutnya,pembaikan serta pengukuhan dalam menguasai kaedah pengajaran dan pembelajaran berlandaskan teknologi akan terus dilaksanakan pada waktu pasca COVID-19 nanti.

“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak yang terlibat adalah diperlukan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti sekolah adalah terjamin,” tekan Yang Berhormat Menteri Pendidikan.