Lebih 23,000 tahanan dibebaskan

YANGON, MYANMAR, 18 APRIL – Junta Myanmar kelmarin membebaskan lebih daripada 23,000 tahanan sempena memperingati cuti tahun baharu negara itu, termasuk sekurang-kurangnya tiga tahanan politik, di mana pemimpin tentera di sebalik rampasan kuasa bulan Februari itu mengesahkan dia akan menghadiri sidang kemuncak serantau akhir bulan ini.

Tidak jelas adakah senarai mereka yang dibebaskan itu termasuk aktivis pro-demokrasi yang ditahan kerana memprotes rampasan kuasa.

Penyiar negara MRTV mengatakan bahawa ketua junta Jeneral Kanan Min Aung Hlaing telah membebaskan 23,047 tahanan, termasuk 137 warga asing yang akan dihantar pulang dari Myanmar. Dia juga mengurangkan hukuman bagi sebahagian mereka yang ditahan.

Tatkala pasukan keselamatan meneruskan tindakan keras mereka, akaun yang tidak disahkan tetapi boleh dipercayai dengan gambar di media sosial mengatakan bahawa tiga orang terbunuh di bandar tengah Mogok kelmarin, di wilayah perlombongan permata Myanmar.

Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, yang memantau korban dan penangkapan, anggota tentera kerajaan telah membunuh sekurang-kurangnya 728 penunjuk perasaan dan pemerhati sejak pengambilalihan itu.

Kumpulan itu mengatakan seramai 3,141 orang, termasuk pemimpin awam yang digulingkan Aung San Suu Kyi, berada dalam tahanan.

Antara yang dibebaskan kelmarin dari Penjara Insein Yangon ialah sekurang-kurangnya tiga tahanan politik yang dipenjarakan pada tahun 2019.

Beberapa anggota penunjuk perasaan dihukum berdasarkan undang-undang yang melarang peredaran maklumat yang boleh membahayakan atau merendahkan anggota tentera.

Beberapa ahli juga didapati bersalah kerana menyebarkan fitnah dalam talian. Tidak jelas apakah mereka semua juga telah dibebaskan. – AP

Gambar fail pada 29 Ogos 2018 menunjukkan Min Aung Hlaing ketika membuat pemeriksaan terhadap kerosakan yang berlaku di jambatan berhampiran Naypyidaw akibat banjir. Junta Myanmar telah membebaskan lebih daripada 23,000 tahanan bagi memperingati cuti tahun baharu tradisional. – AFP