Lebih 240 pendatang di Greece positif COVID-19

ATHENS, 21 SEPT – Lebih 240 pendatang asing tanpa izin di sebuah kem pelarian sementara yang baharu di Greece disahkan positif COVID-19.

Agensi kesihatan awam, Eody, dalam satu kenyataan, berkata 243 kes jangkitan dikesan dalam kalangan 7,000 pelarian yang diuji di kem baharu di kepulauan Lesbos.

“Pada masa sama, ujian turut dilakukan terhadap 120 anggota polis dan 40 kakitangan kem berkenaan yang dibina secara tergesa-gesa selepas Moira iaitu kem pelarian terbesar di Eropah, musnah akibat kebakaran, disahkan negatif,” katanya.

Lebih 12,000 orang termasuk warga tua dan anak damit baru lahir terpaksa tidur di tepi jalan, tempat letak kereta dan di kawasan perkuburan selepas kem Moira terbakar pada 8 September lalu.

Enam remaja Afghanistan kini menghadapi tuduhan memulakan kebakaran di kem berkenaan. – AFP