Lebih 2,400 permohonan pasang fixed broadband

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Pada dua minggu kebelakangan ini, UNN telah menerima lebih kurang 2,400 permohonan untuk memasang fixed broadband, yang mana lebih kurang 700 sudah dipasang dan dalam 1,700 lagi belum dipasang.

“Setiap hari, kami memasang lebih kurang 60 pemasangan, dan Insya-Allah dalam beberapa minggu ia akan dapat diselesaikan,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah bagi menjawab persoalan mengenai pemasangan sambungan internet ke rumah semasa sesi soal jawab Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menyentuh mengenai sambungan internet yang perlahan beberapa hari kebelakangan ini, beliau berkata ia disebabkan masalah submarine cable ke luar negara, yang mana ia adalah di luar kawalan mereka.

“Biasanya, kami ada lima kabel untuk keluar ke pelbagai tempat. Jadi, sejak beberapa hari kebelakangan ini, tiga daripada lima kabel ini tidak berfungsi (down).

“Oleh itu, kami mengalami banyak kesesakan (congestion). Malah, ini adalah pertama kali kami menghadapi kesesakan sejak berbulan-bulan lalu,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurut beliau, pada masa ini, kabel tersebut sudah dibaiki dan ia sepatutnya kembali berfungsi dengan normal.

“UNN terus berusaha meningkatkan kesalinghubungan dan kepantasan internet kita. Kita mempunyai jumlah keseluruhan 750-800 tapak di dalam negeri.

“Sebilangan orang ramai mungkin ada merasakan/mengalami 4G+, yang bermaksud anda mendapat internet yang kepantasannya lebih bagus,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato menambah, masih terdapat stesen pangkalan 3G, namun mereka akan terus menaik taraf dan berharap dari semasa ke semasa, ia akan bertambah baik.