Lebih 250 orang lagi pulang ke Indonesia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Seramai 246 pekerja migran Indonesia (WNI/PMI) yang berada di negara ini, kelmarin pulang ke negara mereka melalui penerbangan khas ke-6, sekali gus membawa jumlah keseluruhan WNI/PMI yang pulang ke Indonesia seramai 912 orang.

Penerbangan khas yang dikendalikan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Bandar Seri Begawan ini turut menguruskan penerbangan balik bagi tiga warga Indonesia yang sakit dan tujuh diplomat Brunei berserta keluarga mereka, yang membawa jumlah keseluruhan penumpang pesawat kali ini seramai 253 orang. KBRI Bandar Seri Begawan juga sebelum ini telah menguruskan lima penerbangan balik iaitu empat penerbangan khas ke Jakarta pada 1 Mei, 15 Mei, 21 Jun dan 5 Julai lalu, sementara satu penerbangan khas ke Surabaya pada 17 Mei lalu.

“Memandangkan banyak permintaan, KBRI merancang mengadakan penerbangan khusus ke-7 pada bulan Ogos, tetapi kali ini ke Surabaya,” kata Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Sujatmiko.

Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa penerbangan tersebut adalah bagi menampung WNI/PMI yang daerah asalnya dari Jawa Timur dan sekitarnya. Dr. Sujatmiko berharap pada bulan September akan datang, Penerbangan Diraja Brunei (RB) akan membuka kembali penerbangan langsung biasa ke Indonesia (Jakarta, Surabaya, dan Bali).

Selain pemulangan warga yang sakit dan keluar dari penjara, proses kepulangan warga Indonesia ini bersifat mandiri. Sebilangan besar mereka yang pulang adalah PMI yang telah tamat tempoh kontrak kerjanya di Brunei Darussalam.

KBRI Bandar Seri Begawan juga telah membekalkan setiap penumpang dengan sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta surat keterangan perjalanan. Selain itu, setiap penumpang juga diberikan kad kuning (Health Alert Card) dari Kementerian Kesihatan Republik Indonesia yang perlu diisi oleh setiap penumpang.

Warga Indonesia yang akan meninggalkan negara ini dilihat beratur untuk memasuki ruangan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.
Lebih 250 orang lagi warga Indonesia akan kembali ke negara mereka dengan penerbangan khas kali keenam.