Lebih 250 pelajar terima galakan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Dalam perjalanan sebagai seorang pelajar, mereka harus mempraktikkan pembelajaran sepanjang hayat, pembelajaran melebihi bilik darjah dan sentiasa bersedia serta dapat menyesuaikan diri kepada persekitaran mereka.

“Kegigihan, sifat dedikasi dan cita-cita tinggi para pelajar sendiri untuk terus maju dan mencapai kecemerlangan serta meningkatkan employability semasa ketibaan waktu mencari pekerjaan pada masa akan datang.”

Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Awang Nohi Irwan Sukkarki bin Haji Pawi ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Bagi Pencapaian Akademik Dalam Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level 2019, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) di auditorium maktab berkenaan, hari ini.

Tambahnya lagi, kecemerlangan akademik perlu diimbangi dengan pembentukan sahsiah yang mantap kerana bangsa yang maju dan sejahtera bukan sahaja terletak kepada ahli-ahli yang berilmu pengetahuan tetapi juga yang bersahsiah mulia.

Terdahulu Pemangku Pengetua Maktab Sains, Hajah Susilawati binti DP Haji Muhammad dalam kata alu-aluannya mengongsi pencapaian keseluruhan Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ bagi 2019 untuk maktab berkenaan, yang mana daripada 354 orang calon, seramai 323 orang pelajar atau 91.24 peratus telah mencapai lima ‘O’ Level ke atas.

Maktab itu juga telah mencapai 77.40 peratus bagi pelajar-pelajar yang mencapai tujuh ‘O’ Level ke atas iaitu pencapaian bagi sasaran maktab 2019 dan daripada jumlah berkenaan, seramai 137 orang pelajar atau 38.7 peratus telah berjaya memperoleh sembilan ‘O’ Level.

Di majlis berkenaan, seramai 258 orang pelajar menerima hadiah dan sijil mereka yang disampaikan oleh Awang Nohi Irwan Surkarki.

Pada majlis itu, sembilan orang pelajar menerima Anugerah Pencapaian Tinggi (keputusan minimum 7 Gred A) dan empat orang lagi menerima Anugerah Pencapaian Tinggi (keputusan minimum 8 Gred A) serta seorang pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik iaitu Dayang Radin Hannah Bazilah binti Radin Safiee yang mendapat keputusan, 4A*, 4A dan 1B. Majlis itu bermatlamat untuk menggalakkan para pelajar bersaing secara sihat dan melahirkan pelajar yang inovatif, kreatif, berwawasan serta mempunyai hala tuju yang jelas untuk masa depan mereka.

Awang Nohi Irwan Surkarki menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Dayang Radin Hannah Bazilah.
Awang Nohi Irwan Surkarki menyampaikan hadiah dan sijil kepada salah seorang pelajar yang diraikan di majlis berkenaan.