Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-40 (HK-40) dengan tema Bersatu Mencapai Cita Negara akan diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 24 Februari ini bermula pukul 9 pagi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha akan berangkat bercemar duli ke upacara tersebut.
Pada tahun ini, acara perbarisan dan persembahan padang akan melibatkan lebih 25,000 orang daripada kalangan penuntut dan warga perkhidmatan awam.
Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi HK-40, pada sidang media mengenai persediaan sambutan berkenaan yang berlangsung di KKBS, hari ini.
Beliau menjelaskan, pada upacara itu, perbarisan lalu akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan kumpulan A terdiri daripada kepala perbarisan iaitu pembawa bendera besar, kumpulan pembaca ikrar dan takbir dan pembawa bendera negara dan logo, pasukan beruniform, pasukan kadet, persatuan beruniform dan sektor awam, manakala itu, kumpulan B terdiri daripada sektor pendidikan, persatuan dan syarikat swasta.
Bagi persembahan pula akan melibatkan tiga persembahan dengan persembahan pertama bertemakan Cita Bangsa Sejarah Terukir, persembahan kedua bertema Bersatu Mempertahankan Bangsa dan persembahan ketiga membawakan tema Bersatu Mencapai Cita Negara.
Di samping itu, beberapa acara sampingan turut diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan HK-40 antaranya Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang akan diadakan 22 Februari di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bermula pukul 5:45 petang dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
Di Daerah Tutong, tumpuan utama adalah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Daerah Belait, di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Pekan Kuala Belait; manakala Daerah Temburong, tumpuan utama adalah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Manakala itu, Upacara Menurunkan Bendera Besar akan diadakan pada 25 Februari di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Di samping itu, Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali Khatam akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada 26 Februari dan akan melibatkan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Masjid tumpuan bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Jame’ Asr Hassanil Bolkiah; Daerah Tutong di Masjid RPN Bukit Beruang; Daerah Belait di Masjid RPN Kampung Kampung Pandan dan Daerah Temburong di Masjid RPN Kampung Rataie.
Sementara itu, pada 10 Mac depan, Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan akan diadakan dengan anggaran jarak kayuhan sejauh 10.3 kilometer (km) dan akan melibatkan satu pasukan berbasikal membuat kayuhan sejauh 40km.
Pada sidang media itu, pihak Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK-40 juga memaklumkan mengenai dua talian hotline yang disediakan bagi memudahkan sebarang penyelarasan sepanjang pelaksanaan upacara perhimpunan agung.
Talian hotline berkenaan adalah 8332212 (khusus bagi talian berkenaan perkara-perkara umum) dan 8332213 (khusus bagi hal ehwal berkaitan pelajar), manakala bagi perkara-perkara kecemasan hubungi 991.
Sidang media itu diselajurkan dengan penyampaian poster sambutan oleh Awang Ajman kepada ahli-ahli panel, pegawai perhubungan awam kementerian-kementerian, termasuk jabatan-jabatan di bawah KKBS serta rakan media.
Pihak jawatankuasa tertinggi sambutan juga menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para rakan strategik korporat dan awam yang telah memberikan kerjasama termasuk sumbangan, yang berbentuk in-kind atau barangan bagi sama-sama memeriahkan dan menjayakan sambutan tahun ini.
Ini khususnya kepada syarikat-syarikat yang memberikan sumbangan Peringkat Berlian iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Syarikat Usahasama Brunei Shell, Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd, Syarikat Gallop Air, Media Permata dan Borneo Bulletin.
Penyumbang Peringkat Platinum adalah DST dan penyumbang Peringkat Emas termasuk Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB, Darussalam Holdings, Stesen Pengisian TAIB, serta restoran Jollibee dan McDonald’s, D’Sunlit Sdn Bhd dan Ong Marble Trading.