GAZA, 25 MEI – Angka kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang berakhir Jumaat lalu mencecah 253 orang, lapor Xinhua, memetik laporan dikeluarkan petugas perubatan kelmarin.
Kementerian Kesihatan di Gaza mendedahkan seramai 253 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 warga emas, manakala 1,948 lain cedera, termasuk 20 dalam keadaan kritikal. Kementerian dalam satu kenyataan kelmarin berkata dua pemuda meninggal dunia manakala empat mayat berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan.
Pada Jumaat, Mesir menjadi orang tengah kepada usaha gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, untuk mengakhiri 11 hari pertempuran. Sementara itu, Hamas mengadakan perhimpunan di kota Gaza bagi memperingati rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel itu. – Bernama