Lebih 2,600 belum beri nombor akaun bank

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Memandangkan jumlah penerima Pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu serta tanggungan) yang memilih kaunter pembayaran masih ramai, maka Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan meneruskan lagi membuat pembayaran bagi penerima yang belum menghadapkan nombor akaun bank melalui kaedah pandu lalu seperti yang dilaksanakan pada bulan Mac yang lepas.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kenyataannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa setakat kelmarin, 20 April, seramai 1,534 penerima Pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu serta tanggungan) telah bersetuju bagi pembayaran pencen dilaksanakan melalui bank.

Manakala selebihnya, iaitu kira-kira sebanyak 2,612 penerima masih belum menghadapkan nombor akaun bank.

Sehubungan dengan itu, dengan mengambil kira tarikh-tarikh pembayaran pencen-pencen jatuh pada bulan Ramadan, maka pembayaran akan di-mulakan selama tiga hari pada 28 hingga 30 April bermula 7:30 pagi hingga 1 petang.

Mengenai lokasi pembayaran pula, ia akan dilakukan di setiap daerah masing-masing iaitu di Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa bagi Daerah Brunei dan Muara; Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait; Daerah Tutong di Dewan Kemasyarakatan; dan bagi Daerah Temburong di Pejabat Jabatan Perbendaharaan iaitu tempat lazim pembayaran dibuat setiap bulan.

Yang Berhormat Dato mengingatkan kepada para penerima pencen untuk membawa kad pengenalan asal masing-masing bagi kegunaan pihak Jabatan Perbendaharaan.

“Pada masa yang sama, sekali lagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyarankan agar para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan, adalah dinasihatkan untuk membawa bersama salinan nombor akaun bank tersebut untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya,” katanya lagi.

Pembayaran pada hari-hari berikutnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

Sebarang pertanyaan ke atas tatacara pembayaran yang dimaksudkan, para penerima bolehlah menghubungi talian-talian yang telah disediakan iaitu 2380822 atau 2383469.

Yang Berhormat Dato juga memohon kerjasama para penerima untuk mematuhi arahan-arahan pihak berkuasa yang akan membantu dalam menyusun barisan kenderaan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan; dan untuk tidak datang terlalu awal; secara berkumpulan dan tidak keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pembayaran menunggu giliran masing-masing dan seterusnya untuk beredar setelah urusan selesai.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga memperkenalkan Kempen Beli Hasil Tempatan (Buy Local Produce) kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Ghanim International Corporation Sdn Bhd dan Darussalam Enterprise (DARe) berikutan dengan penutupan sementara beberapa buah tamu di Tutong dan Seria sebagai langkah-langkah membendung penu-laran COVID-19 di negara ini.

“Objektif utama inisiatif kempen itu adalah untuk memastikan pendapatan para peniaga tamu dan para petani tempatan sentiasa terjamin dan tidak terjejas dengan penutupan sementara ini. Inisiatif ini juga akan dapat memastikan kestabilan harga produk-produk pertanian seperti sayuran dan buah-buahan; serta untuk menggalakkan penanaman produk pertanian secara berterusan,” jelas beliau.

Melalui inisiatif itu, pihak Ghanim dan DARe akan membantu para peniaga tamu dan petani tempatan yang berkenaan dari segi penjualan produk hasil tanaman mereka, yang biasanya dijual di tamu-tamu, untuk dibekalkan kepada pembeli-pembeli seperti pasar raya, restoran dan orang ramai.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai Kempen ‘Buy Local Produce’, orang ramai bolehlah menghubungi Ghanim International Corporation (GIC) Sdn Bhd di talian +6738 890020.