Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Seramai 28,051 orang telah menerima vaksin sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 5,799 orang telah menerima dua dos lengkap vaksin manakala itu, seramai 22,252 orang baharu menerima dos pertama, setakat pukul 5 petang kelmarin, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sementara itu, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi pemberian vaksin iaitu 16,552 bagi dos pertama dan 4,299 bagi dos kedua, Daerah Belait mencatatkan 2,548 orang bagi dos pertama dan 587 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 2,055 bagi dos pertama dan 632 bagi dos kedua dan Daerah Temburong berjumlah 1,097 bagi dos pertama dan 281 bagi dos kedua.
Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa setakat 12 tengah hari ini tiada kes import baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 235 orang.
Tiada kes sembuh juga telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada 10 kes dengan kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (378 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 94 kes.
Kenyataan turut mengongsikan bahawa seramai 495 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 18,298 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 102 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 123,745 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.