Lebih 3 bilion penduduk diarah berada di rumah

PARIS, 26 MAC – Lebih tiga bilion orang diarah untuk terus berada di rumah ketika kebanyakan negara di dunia kini berjuang menangani pandemik COVID-19.

Antaranya Argentina, Britain, Perancis, India dan Itali serta Amerika Syarikat. Terdapat juga negara mengkuatkuasakan perintah berkurung dan kuarantin.

Panama kelmarin menjadi negara terkini mengisytiharkan perintah berkurung, manakala Afrika Selatan menguatkuasakan langkah sama selama 21 hari bermula Khamis.

Di kebanyakan negara, operasi beberapa sektor penting dibenarkan dan rakyat masih boleh keluar membeli barang keperluan dan mendapatkan rawatan perubatan.

Sekurang-kurangnya tujuh negara atau wilayah, merangkumi 416 juta orang termasuk Iran, Jerman dan Kanada, menggesa penduduknya duduk di rumah namun bukan secara mandatori.

Rusia minggu depan mengisytiharkan minggu tidak bekerja.

Sekurang-kurangnya 18 negara atau wilayah, dengan lebih 300 juta penduduk, termasuk Chile, Mesir, Ivory Coast dan Serbia mengenakan perintah berkurung.

Di Ecuador perintah berkurung bermula 5 pagi dan 2 petang setiap hari. Kinshasa, Riyadh, Baku, Congo, Arab Saudi dan Azerbaijan masing-masing menutup pintu keluar dan masuk.

Pandemik COVID-19 yang menjejaskan sebahagian negara di dunia itu telah meragut lebih 21,000 nyawa. – Bernama

Dua buah hospital lapangan dibina di AS untuk menampung pesakit COVID-19 yang semakin meningkat. Lebih tiga bilion penduduk diarah untuk terus berada di rumah ketika kebanyakan negara di dunia kini berjuang menangani pandemik COVID-19. – AP