Lebih 30 karya seni dipamer

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Para penggemar seni lukis berpeluang untuk menyaksikan hasil karya penggiat seni lukis tempatan, Haji Mahaddi bin Haji Matzin atau lebih dikenali sebagai Adizain pada Pameran Lukisan Terapi Biru (Blue Therapy), The Artistic Imagination of Tranquility by Adizain di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Pameran seni berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Wakil daripada Brunei Ex KL Student (BEKS) Negara Brunei Darussalam, Awang Mosli bin Hadis dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan bahawa Adizain merupakan seorang pelukis tanah air yang telah lama berkecimpung dan bergiat aktif dalam dunia seni lukisan dan arca di dalam serta luar negara.

Dalam kata alu-aluannya lagi, Awang Mosli menyatakan bahawa lukisan seperti seni memiliki kesan terapeutik serta ia adalah saluran kepada pembebasan emosi, dengan warna mampu dan memiliki kuasa untuk mempengaruhi emosi. “Melalui gabungan warna dalam lukisan, Adizain kerap menggunakan warna-warna kebiruan dalam kerja seni beliau kerana ia memberi impak positif dan keamanan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, “Ia mampu membantu melegakan minda dan badan serta boleh membawa ketenangan kepadanya.”

Beliau menerangkan bahawa lukisan bertemakan ‘Terapi Biru’, oleh Adizain bukan hanya bertujuan untuk menunjukkan bagaimana seni dapat membantu orang untuk berhubung dan menangani emosi tetapi juga untuk mengurangkan tekanan, meningkatkan ketenangan pada pandangan mata penonton yang menyaksikan.

Majlis diteruskan dengan perasmian pameran lukisan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan diikuti dengan menyaksikan serta penerangan mengenai hasil karya seni Adizain pada pameran berkenaan.

Pameran Lukisan Terapi Biru itu mengetengahkan lebih 30 hasil karya seni Adizain yang mana ia mula dipamerkan dari Jun hingga Julai di Galeri Seni, Dermaga Diraja.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan (tengah) menerima cenderahati daripada Adizain (kiri) selepas Perasmian Pameran Terapi Biru yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyempurnakan perasmian Pameran Terapi Biru di Galeri Seni, Dermaga Diraja, kelmarin.