Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Lebih 30 orang peserta telah menyertai seminar ‘Now Is The New When’ anjuran BruActiv bersama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan yang diadakan di pusat berkenaan, pagi tadi.
Seminar interaktif itu bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk mula bergerak aktif dan mengekalkan gaya hidup sihat melalui perkongsian pengalaman sebenar, program senaman, bagaimana mengelak daripada mengalami kecederaan serta langkah untuk meningkatkan pergerakan dan kekuatan ketika pulih daripada sukan.
Semasa seminar berkenaan, para peserta telah memperdengarkan beberapa taklimat daripada jurulatih terkenal, Lim Ming Soon dan ahli fisioterapi dari The Mini Physio Co., Ho Fu Ton yang masing-masing berkongsi pengetahuan mereka melalui ceramah dan demonstrasi, selain membimbing peserta mengenai kandungan relevan.

Pengasas BruActiv, Dayang Zeti Reza Amin, dalam kenyataan yang diberikan berkata, “Jika anda ingin mencapai perubahan dan melihat hasilnya, haruslah sentiasa disertakan dengan perbuatan dan bersifat sabar dan konsisten.”
Program setengah hari itu turut disokong oleh LMS Coach Fitness, Miniphysio Co. dan Tri3bn serta ditaja oleh D’Sunlit Sdn Bhd, Fitnesszone, YOUC1000, Weelago.com, Kebiasaan Sihat, SEHAT, Brunei Halal dan Bilik 673tea.