Lebih 300 jalani ujian swab besar-besaran

Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Lebih 300 orang telah dibawa untuk menjalani ujian swab semasa perlaksanaan swabbing besar-besaran yang dibuat pada 18 September lalu, yang hasil daripada operasi tersebut telah mengesan tujuh kes baharu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara tersebut semasa sidang media yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah kementerian berkenaan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan mengenai jumlah hot spot yang ada setakat ini, memang banyak dan ia boleh dilihat melalui peta dalam aplikasi BruHealth.

Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan akan menilai langkah yang perlu dilakukan dan perkara ini akan dilanjutkan dari semasa ke semasa.

Menyentuh mengenai lebih 400 orang yang tidak hadir untuk tempahan vaksin seperti yang telah dikongsikan pada sidang media baru-baru ini, adakah ia menimbulkan kerugian terhadap vaksin yang ada.

Yang Berhormat Dato menjelaskan disebabkan pusat vaksinasi diadakan di pusat-pusat yang besar seperti Stadium Tertutup dan sebagainya, pembaziran itu di tahap minimum dan vaksin masih di tahap yang mencukupi.