Lebih 3,000 jawatan kosong tersedia

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Lebih 3,000 jawatan kosong tersedia dan diperlukan bagi para pencari kerja tempatan sejak sebelum gelombang kedua penularan COVID-19 bermula di negara ini.

Tambahan lagi, pada masa negara berdepan dengan penularan COVID-19 sejak 7 Ogos lalu terdapat tambahan sejumlah lebih 300 peluang pekerjaan yang baharu ditawarkan kepada para pencari kerja tempatan di sektor swasta. Ia merupakan peluang yang perlu digunakan sebaik mungkin oleh para pencari kerja tempatan terutama setelah penularan COVID-19 di negara ini terkawal nanti.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) semasa sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan adalah dalam sektor runcit sebagai contoh di restoran-restoran dan kedai-kedai. Menyentuh mengenai Program Perantisan i-Ready, seramai 22 orang daripadanya telah menamatkan program tersebut kerana mendapat pekerjaan tetap yang baharu, ada yang berhenti kerana ingin melanjutkan pengajian dan ada yang berhenti atas alasan yang kurang jelas.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato menyarankan agar para perantis i-Ready untuk membuat kenyataan yang jelas dalam laporan mereka bagi memastikan pihak Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) membuat analisis yang lebih lengkap terhadap senarai pengangguran pada ketika ini.