Lebih 3,000 korban COVID-19

BEIJING, 2 MAC – Jumlah kematian global dari epidemik koronavirus baharu melebihi 3,000 hari ini ketika ramai orang maut di China, Iran dan Amerika Syarikat, dengan kes-kes meningkat di seluruh dunia.

Virus itu kini menjangkiti lebih 89,000 orang dan menular ke lebih 60 buah negara selepas pertama kali muncul di China lewat tahun lalu.

Dengan kebimbangan peningkatan pandemik itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggesa semua negara untuk menyediakan stok alat pengalih udara untuk merawat pesakit yang memiliki simptom teruk penyakit pernafasan maut itu.

Penularan pantas koronavirus itu telah menimbulkan kebimbangan berhubung impaknya kepada ekonomi dunia dengan OECD menurunkan ramalan pertumbuhan global separuh daripada poin 2.4 peratus, prestasi teruk sejak krisis kewangan 2008-2009.

Negara lain turut mula mengenakan langkah pencegahan termasuk menegah ketibaan dari negara yang dilanda virus dan menggesa penduduknya untuk duduk di rumah dan menangguhkan acara besar seperti perlawanan bola sepak dan pameran perdagangan.

Louvre – muzium yang paling dikunjungi di dunia telah ditutup kelmarin dan hari ini selepas kakitangan enggan bekerja berhubung kebimbangan tentang virus terbabit.

China hari ini melaporkan 42 lagi kematian – semuanya di tengah wilayah Hubei. Patogen itu dipercayai berasal di sebuah pasar yang menjual haiwan liar di bandar Wuhan, Hubei.

Jumlah kematian di China meningkat kepada 2,912 namun juga meningkat di luar negara. – AFP

Pekerja perubatan menghasilkan ubatan tradisional Cina untuk merawat pesakit yang dijangkiti oleh COVID-19 di hospital di Wuhan pada 2 Mac. – AFP