Lebih 3,000 penunjuk perasaan ditahan

MOSCOW, 24 JAN – Hampir 3,500 pembantah ditahan semasa tunjuk perasan untuk menyokong pengkritik Kremlin Alexei Navalny, lapor badan pengawas hari ini, tatkala pihak berkuasa menyiasat keganasan di antara pembantah dan polis.

Polis bertempur dengan penunjuk perasaan di Moscow tatkala puluhan ribu membanjiri jalan di seluruh negara semalam ekoran gesaan dari Navalny supaya mengadakan bantahan ke atas pemerintahan Presiden Vladimir Putin.

Beberapa pembantah mengalami kecederaan, termasuk seorang wanita di Saint Petersburg yang dimasukkan ke hospital dengan kecederaan kepala dan berada dalam unit rawatan rapi hari ini.

Negara Barat mengutuk penahanan dan ‘taktik keras’ digunakan ke atas penunjuk perasaan, dengan ketua dasar Kesatuan Eropah Josep Borrell berkata blok akan membincangkan ‘langkah seterusnya’ esok.

Lewat semalam, Jawatankuasa Siasatan, yang menyiasat jenayah serius, berkata ia melancarkan siasatan jenayah di Moscow berhubung penggunaan kekerasan ke atas penguatkuasaan undang-undang dan kerosakan harta benda.

“Siasatan masih mengkaji dan menganalisis sejumlah besar gambar dan bahan video,” kata Jawatankuasa.

Ketua majlis hak asasi manusia Kremlin, Valery Fedeyev berkata kebanyakan mereka yang ditahan di Moscow telah dibebaskan. – AFP

Pembantah bertempur dengan polis rusuhan semasa rapat menyokong pemimpin pembangkang Alexei Navalny di pusat bandar Moscow pada 23 Januari 2021. – AFP