Lebih 30,000 gambar koleksi BSP diserahkan kepada Arkib Negara

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Lebih 30,000 keping gambar dari Koleksi Arkib Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah diserahkan kepada Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Gambar-gambar berkenaan diserahkan oleh Pengarah Urusan Syarikat BSP, Dr Ceri Powell kepada Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Dayang Nor Masitirena binti Haji Suhaini pada majlis yang berlangsung di Jabatan Arkib Negara.

Penyerahan tersebut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus dan Pemangku Ketua Pegawai Arkib, Jabatan Muzium-muzium, Haji Jefri bin Haji Sabli.

Dr Ceri Powell dalam ucapannya menjelaskan bahawa semasa pasukan komunikasi dan hal ehwal luar melihat gambar-gambar di arkib BSP setahun yang lalu untuk mendigitalkannya bagi rekod dan kegunaan BSP, mereka telah menemui beribu-ribu foto unik dan menyedari banyak gambar tersebut tidak pernah diterbitkan.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bergambar ramai bersama para tetamu yang hadir pada majlis penyerahan gambar yang berlangsung di Jabatan Arkib Negara.
Dr Ceri Powell ketika menyerahkan gambar dari Koleksi Arkib Syarikat BSP kepada Dayang Nor Masitirena yang disaksikan oleh Dr Siti Norkhalbi.

“Dengan itu, kami telah mengadakan galeri sementara untuk mempamerkan beberapa foto kepada kakitangan kami di Ibu Pejabat BSP dan kemudian melancarkan pameran galeri bergerak Padang Berawa di Muzium Daerah Belait dan Kompleks Yayasan.

“Minat mendalam terhadap Koleksi Padang Berawa daripada menteri-menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, duta, kakitangan, pelancong dan orang awam adalah di luar jangkaan kami dan menguatkan lagi azam kami bahawa koleksi arkib ini harus mempunyai tempat kekal dan bernilai di Brunei,” ujarnya.

Oleh itu, tambah beliau, mereka menyerahkan koleksi foto unik BSP kepada Arkib Negara, sebagai profesional warisan, untuk menjadi penyimpan koleksi hampir 30,000 gambar berkenaan.

“Kami percaya ini akan memberi akses meluas kepada orang awam dan institusi-institusi lain kepada gambar-gambar berkenaan dan memastikan kesinambungannya sebagai rekod penting di peringkat kebangsaan,” katanya lagi. Menurut beliau lagi, mereka percaya bahawa koleksi arkib gambar BSP adalah salah satu yang terbesar daripada sebuah syarikat swasta di Brunei dengan gambar-gambar bertarikh seawal 1920an, hampir satu abad.

Gambar-gambar yang diserahkan berkenaan menunjukkan suasana Negara Brunei Darussalam seawal tahun 1920an, apabila minyak pertama kali ditemui di Seria termasuk batu peringatan telaga minyak pertama yang digali dalam tahun 1929.

Sejarah perkembangan Negara Brunei Darussalam turut dilihat melalui koleksi gambar-gambar berkenaan yang melihatkan sosioekonomi dan budaya termasuk sejarah-sejarah penting berkaitan dengan lawatan–lawatan para pembesar luar negara ke Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu majlis penyerahan itu, video yang memaparkan antara koleksi gambar arkib Syarikat BSP turut ditayangkan. Pentingnya gambar-gambar ini disimpan di Arkib Negara Brunei Darussalam adalah untuk dijadikan sebagai bahan rujukan dan merupakan dokumen primer bukti sejarah yang dapat dilihat sampai masa ini.

Ini sesuai dengan misi penubuhan Arkib Negara Brunei Darussalam iaitu sebagai pusat sumber maklumat dan sumber penyelidikan negara dalam mengumpul, mengenal pasti dan memelihara rekod-rekod kerajaan dan awam yang mengandungi nilai-nilai sejarah, kebangsaan dan abadi sebagai ristaan untuk generasi dan warga Negara Brunei Darussalam. Orang ramai juga boleh melihat sebahagian koleksi gambar-gambar berkenaan di Muzium Daerah Belait yang dibukakan setiap Selasa hingga Khamis, Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.