Lebih 30,000 penduduk larikan diri

LAGOS, 10 Jan – Berpuluh ribu orang telah melarikan diri dari rumah mereka di timur laut Nigeria selepas pertambahan dalam keganasan dalam konflik Boko Haram, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.

“Lebih daripada 30,000 orang yang kehilangan tempat tinggal (IDPs) telah tiba di Maiduguri, terutamanya dari Baga, dalam beberapa minggu ini,” kata penyelaras kemanusiaan PBB di Nigeria, Edward Kallon.

Baga, terletak di pantai Tasek Chad, telah terjejas dalam konflik sembilan tahun, yang telah membunuh lebih daripada 27,000 orang, menyebabkan 1.8 juta orang kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan krisis kemanusiaan.

Pejuang daripada puak Boko Haram Wilayah Afrika Barat menawan dua pangkalan tentera di sekitar bandar perikanan pada akhir Disember.

Kallon berkata pertempuran pada 26 Disember ‘mencetuskan kehilangan tempat tinggal ysng teruk’ untuk orang awam, dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak membanjiri kem yang telahpun penuh sesak di Monguno dan Maiduguri.

Gambar pada 8 Januari 2019 menunjukkan tentera udara Nigeria mengusung keranda tentera yang terkorban selepas kapal terbang mereka terhempas di Borno State susulan serangan hendap oleh Boko Haram, di sana. – AFP

Monguno ialah bandar garison yang terletak 65 kilometer dari barat daya Baga sementara Maiduguri, ibu negeri Borno, terletak 200 kilometer dari jalan yang sama.

Kedua-duanya dianggap aset paling berharga untuk kumpulan pejuang, yang telah meningkatkan serangan mereka ke atas pangkalan tentera sejak Julai tahun lalu.

Serangan kedua ke atas Monguno pada 28 Disember memaksa IDPs melarikan diri ke Maiduguri. Kira-kira 20,000 orang tiba di satu kem, Kampung Guru, sehingga melepasi had batasannya.

Kallon berkata masih tidak jelas jumlah orang yang masih tinggal di Monguno tetapi “berpuluh ribu orang amat memerlukan bantuan kemanusiaan, terutamanya tempat perlindungan, makanan, air dan sanitasi.”

“Kesan pertempuran terbaharu terhadap orang awam yang tidak bersalah amat mengejutkan dan telah menimbulkan tragedi kemanusiaan,” tambah beliau. Agensi bantuan tempatan dan antarabangsa telahpun memberikan bantuan kepada IDPs di rantau terpencil selama beberapa tahun. – AFP