Lebih 34 peratus kanak-kanak di Malaysia terima vaksin

KUALA LUMPUR, 20 MAC – Seramai 1,239,194 individu atau 34.9 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,842,480 individu atau 91.4 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,941,159 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 15,446,895 individu atau 65.7 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak dan seramai 22,941,756 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,217,449 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 40,418 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 18,273 suntikan pertama, 1,709 suntikan lengkap dan 20,436 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,418,688 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 85 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 18 kes diikuti 17 kes di Perak, Selangor (15), Kedah (10) dan Pulau Pinang (lima). – Bernama