Lebih 4 tan daun ketum dirampas di sempadan Malaysia-Thailand

BUKIT KAYU HITAM, 23 NOV – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 merampas 4,003 kilogram (kg) daun ketum yang dianggar bernilai RM120,870 sepanjang penugasan Op Benteng COVID-19 di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Kedah dan Perlis antara 24 Okt lepas hingga semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara Supt Azhar Hashim berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut menahan enam pendatang tanpa izin warga Myanmar dan Thailand berumur 25 hingga 60 tahun di kawasan Bukit Kayu Hitam.

Katanya, turut ditahan sepanjang penugasan itu ialah seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang menceroboh pagar sempadan di kawasan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Padang Besar, Perlis. – Bernama