Lebih 40 hari tanpa jangkitan baharu COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Negara Brunei Darussalam tidak melaporkan sebarang kes jangkitan baharu dalam masa 45 hari, menjadikan kes keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Sementara itu, semua kontak yang telah menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah pun menamatkan tempoh kuarantin, di mana jumlah keseluruhannya ialah seramai 2,823 orang.

Statistik itu dikemaskinikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar atas) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 217 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 26,468 ujian,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Berhubung dengan aplikasi BruHealth, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, setakat ini seramai 395,164 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut. Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 10,123 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth.

“Manakala, berkenaan aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,538 telah dimuat turun oleh 4,141 premis perniagaan,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut dan per-kembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kemen-terian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.