Lebih 40 maut gempa di Albania

TIRANA, 28 NOV – Jumlah kematian akibat gempa bumi yang paling kuat melanda Albania dalam dekad ini meningkat kepada 40 orang hari ini, selepas 10 mayat dikeluarkan dari runtuhan semalam, kata kementerian pertahanan.

Gempa berkekuatan 6.4 magnitud itu menggegarkan Balkan sebelum Subuh pada hari Selasa, menyebabkan bangunan runtuh dan beberapa mayat masih tertimbus di bawah bangunan semasa gempa bumi itu melanda kawasan di beberapa bandar berhampiran pantai Adriatik.

“Sepuluh lagi mangsa ditemui pada waktu malam, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban kepada 40 orang,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Dengan bantuan pakar yang diterbangkan dari seluruh Eropah, para penyelamat telah berusaha gigih untuk membersihkan runtuhan pangsapuri dan hotel yang runtuh di bandar Durres dan bandar Thumane, dua kawasan yang paling terjejas dilanda gempa itu.

Seramai 46 orang dikeluarkan secara selamat daripada tapak runtuhan dan kini telah dimasukkan ke hospital, kata jurucakap kementerian pertahanan kepada AFP.

Bilangan mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan masih tidak diketahui.

Beratus-ratus gempa susulan terus melanda negara itu, mencetuskan kebimbangan kepada anggota keselamatan dalam usaha mereka untuk terus mencari mangsa yang masih hidup.

Antara 650 yang cedera, sekurang-kurangnya 10 orang cedera parah, kata kementerian kesihatan.

Beribu-ribu orang telah kehilangan tempat tinggal, sama ada kerana rumah mereka rosak teruk atau kerana tidak selamat pulang ke rumah berikutan dengan gempa susulan itu. – AFP

Anggota penyelamat ketika melakukan operasi pencarian mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan akibat gempa bumi di Durres, kelmarin. – AFP