Lebih 40 panggilan kecemasan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Berikutan kejadian angin kencang akibat tempias Taufan Maria minggu ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengeluarkan kenyataan mengenai penerimaan panggilan kecemasan di keempat-empat daerah.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan 25 panggilan membabitkan kejadian pokok tumbang, manakala lima panggilan lagi kejadian atap terbang. Di daerah Tutong tujuh panggilan pokok tumbang direkodkan dan satu panggilan kejadian atap terbang.

Sementara itu di Daerah Belait, JBP menerima tiga panggilan kejadian pokok tumbang dan tiada panggilan kejadian atap terbang. Daerah Temburong pula tiada menerima panggilan kecemasan mengenai pokok tumbang atau atap terbang.

Negara Brunei Darussalam ketika ini mengalami keadaan cuaca sedikit berangin dengan hujan berintensiti lebat sekali-sekala dan kadangkala angin kencang terutama di kawasan perairan negara.

Kelajuan angin akan mencecah 40 hingga 50km/j semasa atau apabila hujan turun dan ombak juga dijangka meningkat ke paras sederhana sehingga 1.5m.

Keadaan ini berpunca daripada sistem Taufan Maria yang sedikit mempengaruhi cuaca namun tidak menjejaskan negara ini secara langsung, melainkan hanya menyebabkan tekanan rendah di kawasan Laut China Selatan.

Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam dalam kenyataannya yang dikeluarkan baru-baru ini mengatakan, Taufan Maria berada di lokasi 21.8° utara dan 133.6° timur di Barat Lautan Pasifik menuju ke barat laut dengan kelajuan sekitar 30km/j berserta angin kencang selaju 195km/j berdekatan pusat taufan dan dijangka bergerak ke barat laut menuju Taiwan.

Sehubungan itu, Jabatan Kaji Cuaca menasihatkan orang ramai khususnya pemandu dan nelayan agar mengambil langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan semua terutama semasa keadaan cuaca yang aktif pada masa ini.

Menurut jabatan itu, perkembangan dan laluan Taufan Maria akan dipantau dari semasa ke semasa dan nasihat serta amaran cuaca juga akan dikeluarkan jika perlu.

Bagi maklumat lanjut keadaan cuaca terkini orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.met.gov.bn dan aplikasi telefon bimbit Brunei WX.

Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai peramal kaji cuaca di Talian Cuaca 114.