Lebih 40 sertai bengkel undang-undang

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Lebih 40 orang telah mengikuti Bengkel Undang-undang Negara bagi Pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bengkel bertujuan untuk memberi bantuan kepada Negara Brunei Darussalam dalam membuat penyerahan awal mengenai langkah-langkah yang diambil bagi menghasilkan perundangan dan pentadbiran dalam melaksanakan CWC, untuk memuktamadkan draf undang-undang CWC dan menggariskan langkah-langkah seterusnya bagi melaksanakan undang-undang CWC.

Dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPWC), bengkel telah diakhiri dengan majlis penutup di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Haji Amiruddin bin Haji Mohammad Hassan.

Para peserta bengkel berkenaan adalah dari pelbagai agensi kerajaan dan industri termasuk Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, jabatanarah-jabatanarah dan unit-unit di Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, dan Brunei LNG.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, OPCW, yang beribu pejabat di Hague, Belanda, bertanggungjawab dalam melaksanakan CWC.

Lebih 40 orang peserta telah mengikuti Bengkel Undang-undang Negara bagi CWC yang diadakan di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
Para peserta mendengarkan penerangan yang diberikan semasa mengikuti bengkel berkenaan.

Antara misi OPCW ialah untuk memastikan pemusnahan senjata bahan kimia, untuk mencegah kemunculan semula penggunaan senjata berkenaan di mana-mana negara dan menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam penggunaan kimia secara aman.

Brunei Darussalam merupakan ahli dan negara yang menandatangani pelbagai perjanjian dan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu termasuk CWC.

Negara Brunei Darussalam telah menandatangani CWC pada 13 Januari 1993 dan mengesahkannya pada 28 Julai 1997.