Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Lebih 40 sertai sesi pemberigaan Akta Persaingan

    Oleh Nurdiyanah R

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Lebih 40 juruukur, jurutera dan arkitek profesional, yang antara lain terdiri daripada ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei telah menghadiri sesi pemberigaan bertajuk ‘Akta Persaingan: Mencegah Tipuan Bidaan’ di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), baru-baru ini.

    Sesi pemberigaan yang dianjurkan oleh PUJA Academy Sdn Bhd telah disampaikan oleh Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) melalui Sekretariat Eksekutif CCBD bertujuan untuk menggalakkan kefahaman tentang Akta Persaingan, Penggal 253, khususnya mengenai salah satu larangan utama di bawah akta tersebut, iaitu tipuan bidaan.

    Hadir pada sesi itu ialah Pengerusi CCBD, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii, serta Ketua Sekretariat Eksekutif CCBD, Hajah Rena Azlina binti Dato Paduka Haji Abdul Aziz.

    Pada sesi pemberigaan berkenaan, Sekretariat Eksekutif CCBD memulakan bahagian pertama sesi pemberigaan dengan memberikan penjelasan mengenai tiga larangan utama di bawah Akta Persaingan, iaitu Bab 11: Perjanjian Anti-Persaingan, Bab 21: Penyalahgunaan Kuasa Dominan, dan Bab 23: Penggabungan Anti-Persaingan. Sesi memfokuskan kepada Bab 11: Perjanjian Anti-Persaingan atau juga dikenali sebagai kartel, yang merupakan larangan utama yang dikuatkuasakan di bawah akta tersebut bermula 1 Januari 2020. Perjanjian Anti-Persaingan, antara lain, terdiri daripada empat jenis perjanjian, iaitu penetapan harga, perkongsian pasaran, pengehadan bekalan dan tipuan bidaan.

    Sesi tersebut kemudiannya diteruskan dengan penerangan terperinci mengenai tipuan bidaan dan kesannya yang memudaratkan, bukan sahaja kepada peniaga dan pengguna, tetapi juga kepada ekonomi negara dan perbelanjaan kerajaan.

    Antara yang hadir ke sesi pemberigaan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, baru-baru ini. – Gambar serahan Sekretariat Eksekutif CCBD

    Pakatan sulit dalam tender bukan sahaja menjejaskan proses pembidaan yang kompetitif untuk mendapatkan nilai terbaik bagi wang untuk barangan dan perkhidmatan yang diperoleh, ia juga dapat menghalang pembida lain yang telah bersaing secara tulus daripada mendapatkan peluang perniagaan.

    Penetapan pemenang bidaan yang telah ditentukan di kalangan pembida atau pembida yang berpotensi juga boleh mematahkan semangat peniaga untuk melakukan yang lebih baik.

    Seterusnya, para hadirin juga diberikan penerangan mengenai beberapa bentuk tipuan bidaan termasuk penindasan tawaran di mana pembida yang berpotensi mengelak daripada menyertai tender bagi memastikan pemenang yang telah ditetapkan boleh memenangi tender.

    Sekretariat Eksekutif CCBD juga menekankan mengenai peruntukan utama yang lain di bawah Akta Persaingan, termasuk Program Kelonggaran di bawah Bab 44.

    Program Kelonggaran memberi insentif kepada peniaga yang mengambil bahagian dalam aktiviti kartel untuk tampil mendedahkan maklumat tentang kegiatan yang dilarang tersebut serta memberikan kerjasama penuh kepada CCBD, sebagai pertukaran dengan pengurangan penalti sehingga maksimum 100 peratus.

    Bagi mengakhiri sesi tersebut, sesi soal jawab telah diadakan dan kuiz-kuiz interaktif turut disediakan oleh Sekretariat Eksekutif CCBD bagi meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran mengenai Akta Persaingan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...