KUCHING, 23 April – Lebih 400 pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia termasuk 201 dari Sarawak akan menyertai Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Kepulauan Borneo Ke-18 di Sampit, Kalimantan Tengah, Indonesia yang dijangka mengumpulkan 5,000 pemilik dari 28 hingga 30 April ini.
Kumpulan dari Sarawak terdiri daripada Borneo Island Big Bikers (BIBB) Sarawak dan mereka akan bergabung dengan Sabah Big Bikers Association (SBBA), LA Riders dari Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa peserta dari Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.
Presiden BIBB Sarawak, Ramlee Tuah berkata festival tahunan itu bertujuan mengumpul pemilik motosikal berkuasa tinggi untuk berkongsi minat dan pengalaman selain memupuk semangat setia kawan sesama mereka.
“Semasa di Sampit kami akan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan tuan rumah termasuk acara ‘tunggangan kebajikan’ iaitu mengunjungi rumah rumah kebajikan sambil menderma.
“Tujuan kami menyertai BIIBBF 2017 Sampit adalah bagi memberi sokongan kepada tuan rumah kerana penganjuran festival ini dibuat secara bergilir antara lima kelab peneraju iaitu BIBB Sarawak, Ikatan Motor Besar Indonesia (IMBI), SBBA, LA Riders dan PEMODA Brunei Darussalam,” kata Ramlee.
Sabah adalah tuan rumah festival berkenaan pada tahun lepas manakala Sarawak akan menganjurkannya tahun depan. – Bernama