Lebih 400,000 krathong dikutip selepas festival berakhir

BANGKOK, 21 NOV – Pekerja Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengutip lebih 400,000 krathong (bakul terapung) selepas berakhirnya Festival Loy Krathong.

Dalam satu kenyataan, Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata pekerja BMA mengumpul 403,235 krathong yang dikutip dari Sungai Chao Phraya, tasik di taman awam dan terusan di Bangkok dari 8 malam Jumaat sehingga 5 pagi Sabtu.

Daripada jumlah itu sebanyak 388,954 atau 96.46 daripadanya diperbuat daripada bahan terbiodegradasi manakala 14, 281 atau 3.5 peratus lagi daripada bahan tidak terbiodegradasi.

“Tahun ini, jumlah kutipan krathong berkurangan sebanyak 89,302 atau 18.13 peratus berbanding tahun lalu.

“Bilangan krathong yang diperbuat daripada busa juga berkurangan daripada 3.60 peratus pada 2020 kepada 3.54 peratus tahun ini,” katanya. – Bernama

Seorang wanita menghanyutkan krathong ke sungai Chao Phraya di taman Rama 8 di Bangkok pada 19 November semasa acara Loy Krathong. – AFP