Lebih 4,300 ditahan langgar peraturan kecemasan

RABAT, 13 APRIL – Lebih daripada 4,300 orang ditahan pada hujung minggu di Maghribi kerana melanggar peraturan kecemasan yang dikuatkuasakan untuk memerangi koronavirus, menurut angka rasmi.

Lebih separuh yang ditahan telah dibawa ke balai polis.

Sejak pertengahan Mac, pihak berkuasa telah menahan 28,701 orang di seluruh negara Afrika Utara, 15,545 di antaranya dirujuk ke mahkamah selepas ditahan, menurut pasukan keselamatan negara DGSN.

Penalti kerana mencabul langkah untuk mengawal penyebaran penyakit COVID-19 termasuk hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda 1,300 dirhams. Maghribi mengenakan keadaan darurat kesihatan awam pada 19 Mac, mengurung semua orang dalam rumah mereka kecuali mereka dengan permit untuk keluar bekerja.

Pada minggu lalu, pihak berkuasa mewajibkan penduduk memakai topeng muka di tempat awam.

Polis dan anggota keselamatan dibantu oleh tentera dalam kenderaan perisai telah dihantar ke seluruh negara, mendirikan sekatan jalan dan tempat kawalan untuk menguatkuasakan peraturan tersebut. – AFP