Lebih 450,000 jalani rapid test COVID-19 di Indonesia

JAKARTA, 8 APRIL – Lebih 450,000 orang di Indonesia telah menjalani rapid test setakat ini sebagai satu usaha pemerintah Indonesia melakukan pengesanan awal jangkitan virus COVID-19.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata ia selaras dengan arahan Presiden Joko Widodo pada 20 Mac lepas yang mahukan rapid test dilaksanakan secara besar-besaran, menerusi pemeriksaan sampel darah.

Namun bagi Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, Doni Monardo, ujian itu bukanlah kaedah terbaik dalam mengesan virus itu, tetapi lebih kepada pengesanan awal sekiranya seseorang mempunyai sindrom tidak sihat, yang berkemungkinan dijangkiti COVID-19.

“Terdapat keputusan rapid test yang negatif, namun apabila menjalani pemeriksaan sampel lendir hidung atau tekak (PCR: Polymerase Chain Reaction), individu terbabit didapati positif COVID-19,” katanya.

Achmad Yurianto berkata fokus sebelum ini adalah rapid test kerana kos pemeriksaan menerusi kaedah itu tidak terlalu mahal, namun pemerintah Indonesia kini juga melakukan PCR yang setakat hari ini melibatkan 15,000 orang.

Pada sidang media hariannya hari ini, Achmad Yutianto berkata sebanyak 218 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif kini berjumlah 2,956 kes, manakala sejak 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 19 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kini 240 orang. – Bernama