Lebih 50 dikhuatiri maut di Myanmar

YANGON, 23 April – Lebih daripada 50 orang dikhuatiri mati selepas satu tanah runtuh di utara Myanmar menimpa pelombong jed ketika mereka sedang tidur, polis tempatan mengatakan hari ini, kemalangan dahsyat membawa maut terbaharu dalam industri merbahaya itu.

Berpuluh-puluh mati setiap tahun dalam tanah runtuh di perlombongan jed, sebuah industri yang kurang kawalan dengan gejala rasuah berleluasa serta tersepit di antara sempadan China dan India.

Polis tempatan menerangkan kemalangan pelik di negeri Kachin pada malam Isnin sangat besar sehingga ia membentuk satu ‘tasik lumpur’ besar yang menguburkan pelombong dan juga kira-kira 40 kenderaan.

“Seramai 54 orang hilang dalam lumpur,” kata seorang pegawai bertugas dari balai polis bandar Hpakant memberitahu AFP, meminta namanya dirahsiakan. “Tiada harapan mereka yang hilang boleh hidup,” tambahnya.

Setakat ini, hanya dua mayat ditemui. Kementerian Penerangan mengesahkan kemalangan dan jumlah mereka yang hilang, menambah bahawa kawasan perlombongan adalah di bawah Syarikat Myanmar Thura Gems dan Shwe Nagar Koe Kaung.

Lokasi runtuhan di Myanmar. -AFP

Pengarah Myanmar Thura Gems, Hla Soe Oo memberitahu AFP melalui telefon bahawa dia dalam perjalanan ke tapak kejadian dan tidak mempunyai butiran lanjut mengenai kejadian.

Manakala media tempatan mengongsi imej, yang tidak dapat disahkan AFP, menunjukkan tembok lombong membentang secara menegak sejauh beberapa ratus meter dari atas timbunan lumpur, memperlihatkan hanya bahagian atas dua daripada kenderaan pengorek berwarna kuning.

Beratus-ratus yang memerhatikan berhimpun di kawasan berhampiran, melihat ke arah tapak kejadian dan merakamkan gambar menggunakan telefon mereka.

Lombong-lombong jed di bandar Hpakant, Kachin menukarkan kawasan pedalaman tersebut menjadi bentuk muka bumi seperti bulan yang besar.

Tanah runtuh membawa maut adalah lazim di kawasan itu dengan mangsa-mangsa biasanya adalah daripada masyarakat etnik miskin yang mencari serpihan kecil jed-jed ditinggalkan oleh firma-firma besar. –AFP