Lebih 50 kucing diselamatkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Saban hari, semakin kerap didengar kes-kes penganiayaan terhadap haiwan dilakukan secara melampau sehingga mengakibatkan kecederaan dan membawa kepada kematian.

Setiap kali kes penganiayaan haiwan tular di media sosial, sudah semestinya perkara tersebut akan mendapat kecaman yang hebat daripada para warganet tempatan sama ada bagi pencinta haiwan ataupun masyarakat umumnya.

Baru-baru ini, warganet tempatan telah digemparkan dengan tularnya beberapa perkongsian video dan gambar yang kurang menyenangkan di sebuah kediaman yang dikatakan mengandungi banyak haiwan peliharaan disukai ramai iaitu kucing dikurung dalam beberapa buah sangkar dengan keadaan yang lemah dan terbiar di bawah bahang panas matahari.

Menurut kenyataan daripada Sejahtera Community iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, 58 kucing yang dilaporkan dikurung itu kini cuba dipindahkan ke kediaman baharu.

Kejadian yang dikatakan berlaku di salah sebuah kediaman di Kampung Kilanas tersebut telahpun diadukan kepada pihak yang berkenaan bagi tindakan seterusnya.

Salah seorang pengasas Sejahtera Community, Dayangku Nooraini binti Pengiran Ahmad menjelaskan bahawa kebenaran polis telah diperolehi untuk memasuki kawasan rumah itu bagi menyelamatkan kucing-kucing tersebut.

Seruan bagi bantuan sukarelawan dan orang ramai yang ingin membela kucing-kucing tersebut telah pun diumumkan dalam Facebook Sejahtera Community sebagai usaha untuk menyelamatkan kucing-kucing dan mencari tempat tinggalnya.

Menurut kumpulan itu, kucing-kucing yang ditemui dalam keadaan yang amat menyayat hati.

Ini termasuklah keadaan kucing-kucing yang dikurung tanpa makanan dan air sehingga mengakibatkan ia lemah dan ada beberapa ekor yang hampir mati dan sudah mati.

Haiwan tersebut juga kelihatan sakit dan sebahagiannya memerlukan rawatan dengan penyakit kulit yang ekstrem serta jangkitan pada mata.

Berdasarkan pengetahuan penulis, aspek penganiayaan terhadap haiwan, boleh mencakupi pelbagai penganiayaan kejam termasuklah meninggalkan haiwan peliharaan tanpa perhatian, merantai haiwan tersebut sehingga menyukarkannya untuk bebas berkeliaran, menyimbah haiwan dengan air panas, mengabaikannya sehingga haiwan itu menjadi buta dan berpenyakit, mahupun mengalami luka akibat dipukul.

Kucing-kucing jika dikurung di dalam rumah, tanpa diberi makan dan minum serta tidak dijaga kebajikannya juga boleh dianggap sebagai menganiaya kerana perbuatan itu boleh mengakibatkan kematian haiwan tersebut.

Justeru itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa memastikan dan menjaga kebajikan dan kesihatan haiwan peliharaan masing-masing pada setiap masa dan keadaan.