Lebih 50% masjid penuh ditempah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Tempahan bagi jemaah lelaki yang sudah melengkapi dua dos suntikan vaksin COVID-19 telah bermula pada jam 9 pagi tadi yang menyaksikan lebih 50 peratus daripada jumlah masjid di negara ini telah penuh ditempah.

Setakat petang tadi sebanyak 57 buah masjid telah menerima tempahan penuh kapasitinya dan 11 buah masjid lagi telah ditempah kira-kira 80 hingga 90 peratus.

Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan pada petang tadi.

Bermula 19 November ini, kesemua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan dibuka kembali bagi sembahyang fardu lima waktu dan juga sembahyang fardu Jumaat di mana hanya jemaah yang berumur 18 tahun ke atas dan yang lengkap mendapatkan dua dos vaksin sahaja dibenarkan untuk menunaikan sembahyang di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat berkenaan.

Para jemaah dikehendaki membuat tempahan menggunakan aplikasi BruHealth bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat dan hanya jemaah lelaki sahaja yang dibenarkan bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat. Manakala sembahyang fardu lima waktu dibenarkan untuk jemaah lelaki dan perempuan.

Penggunaan aplikasi BruHealth adalah dimestikan di mana hanya jemaah yang mempunyai kod BruHealth warna hijau dan kuning dibenarkan masuk dengan mematuhi segala SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan.