Lebih 50 maut kilang makanan terbakar

RUPGANJ, BANGLADESH, 9 JULAI – Kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kilang di Bangladesh telah mengorbankan kira-kira 52 orang yang terperangkap di dalam bangunan itu, di mana sebahagiannya terpaksa melompat keluar dari tingkat atas untuk menyelamatkan diri, kata perkhidmatan kecemasan hari ini.

Sementara itu, kira-kira 30 orang lagi tercedera dalam kebakaran itu dengan beratus-ratus ahli keluarga mangsa dan pekerja lainnya yang menanti dengan cemas di luar premis kilang bertambah kecewa apabila diberitahu ramai mungkin tidak mampu menyelamatkan diri. Pihak berkuasa berkata kebanyakan mangsa terkorban apabila melompat dari bangunan tinggi untuk mengelakkan api yang semakin merebak manakala jumlah yang masih terperangkap belum dapat dipastikan.

Ketua Polis Daerah, Jayedul Alam, memberitahu AFP bahawa kebakaran bermula sekitar jam 5 petang semalam waktu tempatan di kilang makanan serta minuman, Hashem Food and Beverage, di Rupganj dan api masih merebak sehingga sekarang.

Inspektor polis, Sheikh Kabirul Islam, pula berkata sekurang-kurangnya 30 lagi cedera termasuk mereka yang melompat dari tingkat atas apabila api merebak dengan cepat di kilang enam tingkat itu.

“Pihak bomba berjaya menyelamatkan 25 pekerja dari bumbung bangunan kilang membuat mi, manisan serta minuman itu dan kini berusaha memadamkan api di tingkat lima dan enam,” katanya.

Jurucakap pasukan bomba, Debashish Bardhan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dapat dilaksanakan selepas kebakaran dikawal.

“Hanya selepas itu dapat kami tentukan berapa ramai mangsa sebenar dalam tragedi ini,” katanya kepada AFP. – AFP

Orang ramai melihat gumpalan asap tebal dari kilang makanan dan minuman yang terbakar di Rupganj, Narayanganj pada 9 Julai. – AFP