Lebih 50 migran maut kapal karam

TUNIS, 12 JUN – Lebih 50 orang maut dengan kebanyakannya dari Afrika sub-Sahara, apabila sebuah kapal yang membawa pendatang menuju ke Itali karam di Tunisia, kata seorang pegawai kesihatan semalam.

Sebanyak 17 mayat ditemui, meningkat menjadi 52 orang sejak pihak
berkuasa diberitahu oleh nelayan berhampiran bandar pelabuhan Sfax pada Selasa.

Sekurang-kurangnya 24 wanita antara mangsa yang terkorban.

Pengawal tentera laut dan pantai menggunakan penyelam dan helikopter untuk mencari mayat, yang kebanyakannya ditemui di kawasan yang sama, kata jurucakap mahkamah di Sfax kepada AFP.

Beberapa pengebumian dilakukan semalam, kata pengarah kesihatan wilayah Sfax, Ali Ayadi, dengan sampel DNA diambil dalam usaha mengenal pasti identiti mayat itu sebelum dikebumikan di kubur bernombor.

Kapten kapal itu, seorang warga Tunisia berusia 48 tahun, antara yang maut, menurut pihak berkuasa.

Trak pengangkut sedang menunggu di hadapan hospital pada petang semalam untuk memindahkan mayat ke tanah perkuburan di pinggir Sfax.

Saksi memberitahu pihak berkuasa bahawa mangsa dipercayai menaiki kapal yang berlepas ke Itali seminggu lalu dengan membawa 53 penumpang.

Siasatan dilancarkan untuk mengenal pasti pihak terbabit. – AFP