Lebih 500 di Mumong jalani ujian swab

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Lebih 500 orang penduduk di kawasan perumahan di Mumong telah dikumpulkan untuk dibawa bagi ujian swab secara serentak di Kuala Belait.

“Apa yang didapati dalam kelompok kampung di sana ramai yang dikesan positif,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika menjelaskan perkara itu susulan video tular yang menunjukkan penghuni di Berek Mumong, kawasan perumahan telah dibawa menaiki bas oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Pada sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa dalam memastikan mereka yang menjalani kuarantin berada di rumah, mereka akan dihubungi untuk memastikan keberadaan mereka selain membuat kepastian semasa melakukan penghantaran makanan di kediaman mereka.

Ini adalah untuk memastikan mereka menjalani kuarantin di kediaman masing-masing dengan tidak melanggar arahan yang telah dikeluarkan.

“Ada juga didapati beberapa orang yang telah melanggar peraturan QO dan dalam masa terdekat ini, akan dikongsikan jumlah mereka yang telah melanggar peraturan QO,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani.