Lebih 500 pelajar Maktab Duli mulakan pengajian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Seramai 503 orang pelajar iaitu 199 orang pelajar lelaki dan 304 orang pelajar perempuan memulakan pe-ngajian mereka di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) di mana jumlah kemasukan yang ramai itu bukan hanya menunjukkan prestasi Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ yang meningkat tetapi juga keyakinan ibu bapa serta penjaga dan pelajar sendiri terhadap maktab berkenaan.

Kepercayaan terhadap Maktab Duli sebagai sebuah institusi pendidikan yang sudah lama bertapak bukan sahaja dari segi kualiti pendidikannya tetapi juga komitmen para pensyarah yang ada di maktab berkenaan.

Dalam hubungan itu, diharapkan supaya pihak ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan mereka di mana penglibatan, sokongan dan komitmen padu mereka amat diperlukan untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka.

Harapan itu dinyatakan oleh Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim ketika berucap pada Majlis Kemasukan Pelajar Baharu Sesi 2020/2021 yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli, Gadong, hari ini. Beliau turut mengalu-alukan kemasukan pelajar-pelajar baharu maktab berkenaan serta menyarankan mereka untuk menggunakan masa dengan bijak dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah menjurus kepada pembelajaran. Para pelajar baharu berkenaan akan menyertai program orientasi selama tiga hari bermula hari ini, yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk membiasakan diri dan merasai sendiri pengalaman kehidupan akademik serta sosial pelajar tingkatan enam.

Semasa program orientasi itu, para pelajar akan berpeluang mengenali lebih dekat mengenai maktab berkenaan serta misi dan visi maktab serta cara yang terbaik untuk mencapai matlamat itu. Para pelajar juga diberikan penerangan oleh pelbagai unit dan seksyen maktab mengenai dasar-dasar serta pelbagai jenis kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di maktab berkenaan.

Para pelajar baharu Maktab Duli memulakan pengajian mereka di maktab berkenaan, kelmarin. – Gambar serahan MD