Lebih 500 pohon bantuan SKN

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Setakat hari ini lebih 500 orang telah memohon kepada Sistem Kebajikan Negara (SKN) untuk mendapatkan bantuan meringankan beban mereka yang terjejas disebabkan COVID-19.

Lebih 200 permohonan didapati termasuk dalam tiga kategori yang dimaksudkan berhak menerima bantuan berkenaan.

Manakala 300 lebih yang lain pula didapati tidak layak untuk mendapatkan bantuan tersebut disebabkan mereka masih bekerja atau bersara pada masa ini dan ada juga pemohon daripada kalangan penuntut yang masih belajar.

Perkara tersebut dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengaturkan beberapa orang pegawai untuk menolong proses permohonan-permohonan SKN.

“Insya Allah kalau sudah dapat disahkan mengikut data-data yang diperlukan, ia akan dapat diproses selepas ini,” jelas beliau ketika mengulas lanjut mengenai proses permohonan SKN yang dilakukan pada masa ini.