Lebih 500 sampel diuji dalam 24 jam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Negara Brunei Darussalam hari ini terus kekal mencatatkan sifar kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang, manakala jumlah kes yang telah sembuh seramai 138 orang.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Sementara itu, terdapat 456 orang yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, setakat ini seramai 3,379 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Selain itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 567 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 37,058 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.