Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 31 Mac – Lebih 500 orang dari seluruh negara telah menyertai Larian Malam ‘We Run The Night’ anjuran RYS Entertainments yang bermula dan berakhir di Taman Persiaran Jalan Sungai di sini, malam tadi.
Larian dibahagikan kepada tiga kategori termasuk dua kategori yang dipertandingkan iaitu 6km dan 11km di samping larian Fun Run 3km.
Hadir bagi melepaskan dan menyertai larian berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang dialu-alukan oleh Pengarah Urusan RYS Entertainment, Ampuan Haji Yusof bin Haji Kula.
Selepas sesi zumba bagi memanaskan badan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan melepaskan peserta larian 6km dan 11km sebelum turut menyertai larian Fun Run.
Ketika ditemui sejurus selepas menamatkan larian, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama beliau menyertai larian berkenaan yang diadakan di samping Program KBku Ceria yang diadakan pada setiap hujung bulan di Daerah Belait.

Selain itu, beliau juga menyatakan perasaan gembira melihat kehadiran ramai peserta bukan sahaja dari Daerah Belait malah dari daerah lain, yang menurut beliau, menunjukkan sokongan dan kepentingan acara berkenaan diadakan bukan sahaja untuk mempromosikan gaya hidup sihat tetapi juga sebagai platform bagi keluarga-keluarga meluangkan masa bersama.
Beliau turut menekankan bahawa platform-platform ini yang diadakan untuk menyokong lagi institusi kekeluargaan akan menyemarakkan lagi Sambutan Hari Keluarga yang dijadualkan diadakan pada Mei depan.
Menurut beliau, di mana sahaja berada, institusi keluarga yang kukuh adalah penting, oleh itu, beliau ingin melihat lebih banyak aktiviti diadakan untuk membantu menggalakkan penyertaan sebagai sebuah keluarga, bukan sahaja di Daerah Belait, tetapi juga di seluruh negara, pada bila-bila masa sahaja dan bukan sahaja semasa Sambutan Hari Keluarga.
Beliau juga menyatakan harapan bahawa aktiviti-aktiviti selain daripada sukan, seperti yang berkaitan dengan kebudayaan dan sebagainya, difikirkan apabila menganjurkan dan mengadakannya kerana kepelbagaian aktiviti akan membantu lagi menggalakkan keluarga terlibat dalam aktiviti yang sebati dengan warisan.
Semasa larian berkenaan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan beberapa jemputan lain berpeluang melintasi pelbagai mercu tanda di Pekan Belait walaupun kegelapan menyelubungi kebanyakan pemandangan.
Pada akhir acara, beliau turut menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang teratas dalam kategori larian 6km dan 11km.
RYS Entertainment turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada semua peserta, perwakilan media, kru serta para penyumbang yang termasuk Gong Cha Seria, BrotherHood Seafood Paradise, Rainfresh, You C1000, Hotel Garden Sentral dan Swiss Hotel Apartment atas sokongan mereka kepada acara tersebut.





























