Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Sejumlah $533,189.55 telah berjaya dikumpulkan untuk mangsa bencana Sulawesi, Indonesia, menerusi Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) yang telah dibukakan selama tiga bulan bermula 9 Oktober 2018 hingga 7 Januari 2019.
Jumlah berkenaan termasuk $112,679 yang telah diserahkan pada majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penasihat-penasihat bersama TKBS.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku timbalan penasihat bersama TKBS; Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku pengerusi bersama Tabung TKBS dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Pada majlis itu, KHEU yang diwakili Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri telah menyerahkan sebanyak $100,307.44 hasil kutipan daripada masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.




DST Communications Sdn Bhd dengan diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST Sdn Bhd, Radin Sufri bin Radin Basiuni pula menyerahkan cek bernilai $5,000 sebagai sumbangan daripada DST dan cek berjumlah $75,706 hasil kutipan daripada perkhidmatan SMS Brunei Prihatin.
Manakala itu, Progresif Cellular Sdn Bhd pula telah berjaya mengumpulkan sebanyak $29,973 menerusi perkhidmatan SMS Brunei Prihatin yang disampaikan oleh Dayang Erwienna Shafienaz binti Abu Bakar.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah $2,000 daripada Kelab Sukarelawan dan Amal Universiti Brunei Darussalam (UBD) serta Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat UBD yang disampaikan oleh Pegawai Agama Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat UBD, Awangku Muhd Nur Hafizan bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis penyerahan derma tersebut diikuti dengan mesyuarat penutupan tabung yang dipengerusikan oleh Datin Paduka Dr Hajah Norlila dan dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan TKBS.
Mesyuarat bersetuju bahawa mulai hari ini, tabung berkenaan ditutup secara rasminya sekali gus membubarkan jawatankuasa tabung tersebut.
Sebahagian hasil kutipan derma Negara Brunei Darussalam telah disalurkan bagi pembinaan tempat perlindungan sementara yang dikenali sebagai ‘Huntara’ (hunian sementara) melalui Projek ASEAN Resilient Village yang dikendalikan oleh pihak Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).
Sumbangan berkenaan adalah bagi pembinaan enam buah unit Huntara berjumlah AS$198,000 dengan setiap unit bangunan dapat menampung 12 buah keluarga yang mana setiap keluarga dianggarkan lima orang.
Oleh yang demikian, sebuah Huntara akan dapat menempatkan seramai 60 orang penghuni.
Manakala itu, baki kutipan tabung setelah pembiayaan Huntara-huntara tersebut akan digunakan untuk pembinaan masjid atau infrastruktur lain yang diperlukan.
Oleh yang demikian, Jawatankuasa TKBS merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma di negara ini sama ada secara individu, kumpulan, jabatan, pertubuhan, badan-badan atau syarikat-syarikat atas sumbangan yang telah diberikan untuk tabung tersebut.