Lebih 55 peratus penduduk lengkap vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kementerian Kesihatan telah menyelaraskan kadar vaksinasi bagi COVID-19 di negara ini, mengikut jumlah terkini penduduk bagi tahun 2021 yang data terkininya telah diperoleh dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) hasil dari banci penduduk yang dijalankan pada awal tahun ini.

Dengan penyelarasan kadar tersebut, bagi dos pertama vaksin COVID-19, seramai 345,754 telah menerimanya menjadikan kadar vaksinasi baharu meningkat dari 76.2 peratus kepada 80.4 peratus.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengongsikannya semasa sidang media pada hari ini.

“Manakala, bagi mereka yang telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 pula, seramai 238,491 orang telah menerima dua dos iaitu 55.5 peratus daripada jumlah penduduk negara iaitu penyelarasan dari 52.6 peratus,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

Setakat 20 Oktober 2021 juga, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19 meningkat kepada 584,245 suntikan, sejak 3 April 2021.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah ter-tinggi iaitu sebanyak 374,442 jumlah suntikan, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 74,484 jumlah suntikan.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 68,484 jumlah suntikan, dan Daerah Temburong sebanyak 66,835 jumlah suntikan.