Lebih 58,000 dos vaksin Pfizer tiba

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Sebanyak 58,500 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini, dari Belgium.

Hadir menyaksikan ketibaan vaksin berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan.

Penghantaran vaksin tersebut merupakan penghantaran pertama daripada sebanyak 300,690 vaksin Pfizer BioNTech yang telah diperolehi oleh Kementerian Kesihatan.

Autoriti Kawalan Ubat-ubatan Negara Brunei Darussalam (BDMCA) telah mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech berikutan proses penilaian saintifik yang terperinci oleh Jawatankuasa Teknikal Vaksin COVID-19 Kebangsaan.

Pihak BDMCA juga memberi kebenaran khas bagi pemberian vaksin Pfizer-BioNTech di negara ini semasa keadaan kecemasan atau pandemik kesihatan awam.

Di samping penggunaannya bagi semua peringkat umur, Pfizer-BioNTech adalah satu-satunya vaksin sesuai digunakan bagi remaja berumur di antara 12 hingga 17 tahun.

Dengan adanya vaksin itu, Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 akan dapat dilaratkan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun bermula 8 November dan dijangkakan negara mencapai jumlah penduduk divaksinasi lebih 85 peratus setelah dua dos vaksin COVID-19.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau Kementerian Pendidikan, www.moe.gov.bn, mengenai perlaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

Haji Maswadi dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan berdoa selepas menerima vaksin berkenaan.
Vaksin Pfizer-BioNTech yang baru saja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Petugas mengeluarkan kargo berisi vaksin Pfizer dari pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.