Lebih 5kg syabu dirampas

KOTA KINABALU, 3 JUN – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 5.184 kilogram dadah dipercayai jenis methamphetamine (syabu), yang dianggarkan bernilai RM207,378, dalam operasi di Semporna, Ahad lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, berdasarkan risikan dan intipan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Semporna telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun, pada pukul 7:30 malam di Terminal Bas, Semporna.

“Semasa tangkapan itu lelaki berkenaan sedang membawa sebuah kotak yang dipercayai baru tiba dari Kota Kinabalu, melalui pengangkutan darat.

“Pemeriksaan terhadap kotak berkenaan mendapati 29 kotak kecil berisi ‘fon telinga’ dan lima lagi bungkusan besar bertulis teh hijau, yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis syabu seberat 5.184 kilogram,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, dan saringan air kencing didapati negatif. – Bernama

Datuk Zaini Jass menunjukkan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM207,378 dalam operasi di Semporna, Ahad lepas pada sidang media, kelmarin. – Bernama