Lebih 60 orang menderma darah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Seramai 61 orang telah menderma darah pada kempen yang diadakan sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2019 di Times Square Shopping Complex, hari ini.

Kempen berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi melalui Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Hadir bagi menjayakan kempen tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Muhammad Yusof; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak; Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Haji Rozaly bin Haji Saidon serta para pegawai dan kakitangan JPD dan Sekretariat MKKJR.

Kempen merupakan salah satu lagi aktiviti MKKJR sempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2019.

Antara tujuannya ialah untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat serta memberi peluang kepada orang ramai termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan untuk menderma darah bagi menyelamatkan nyawa.

Di samping itu juga bagi memupuk kesedaran tentang pentingnya untuk meningkatkan jumlah simpanan tabung darah bagi kegunaan Pusat Penderma Darah termasuk bagi kegunaan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pesanan utama yang ingin disampaikan melalui kempen berkenaan ialah pentingnya untuk sama-sama meningkatkan keselamatan jalan raya dengan menanamkan sifat keprihatinan dan kesedaran untuk sentiasa memandu dengan berhemah dan berhati-hati.

Antara yang menderma darah semasa kempen berkenaan. – Gambar oleh Bahyiah Bakir.