Lebih 60 pelarian dibebaskan di Australia

BRISBANE, AUSTRALIA, 2 MAC – Australia telah membebaskan puluhan pelarian setelah menahan mereka bertahun-tahun lamanya di bawah dasar bertujuan menghalang orang daripada mendapatkan perlindungan di negara itu, kata aktivis hari ini.

Lebih daripada 60 pelarian dibebaskan dalam tempoh dua hari lalu dari hotel dan pusat tahanan di Brisbane, Sydney dan Darwin, menurut Gabungan Tindakan Pelarian dan wakil perundangan.

Mereka diberikan visa sementara selepas menghabiskan lapan tahun di pusat tahanan Australia di pulau Pasifik sebelum dipindah ke negara itu untuk menjalani rawatan perubatan.

Canberra telah menghantar sesiapa yang cuba tiba di Australia menerusi bot ke pulau Manus dan Nauru di Papua New Guinea, di bawah dasar yang dikatakannya bertujuan menghalang penyeludupan orang.

Pembebasan kumpulan itu diadakan selepas lebih 60 pelarian dibebaskan dalam kes sama pada Disember dan Januari.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Peter Dutton memberitahu radio tempatan pada Januari bahawa adalah ‘lebih murah’ untuk pelarian dibebaskan dalam komuniti daripada ditahan di pusat tahanan. – AFP