Lebih 600 karton rokok dirampas

Oleh Sim Y. H.& Yusrin Junaidi
Gambar serahan JKED & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Pasukan Polis Diraja Brunei telah berjaya merampas lebih 600 karton rokok serta beberapa barangan tegahan dalam dua operasi berasingan di Kampung Mulaut dan di kawasan perairan Kampung Sungai Bunga baru-baru ini.

Pada pemeriksaan diadakan JKED ke atas sebuah rumah di Kampung Mulaut, sebanyak 240 karton, 87 peket dan dua batang rokok pelbagai jenis serta beberapa produk makanan dipercayai dibawa masuk tanpa diisytiharkan dirampas pada 1 Oktober lalu.

JKED turut menahan sembilan individu terdiri daripada enam orang lelaki dan dua orang perempuan warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun kerana dipercayai memiliki barang-barang tegahan kastam tersebut.

Di samping itu, satu peket plastik lutsinar berisi hablur seberat 2.78 gram dipercayai dadah jenis syabu turut dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang berikutan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, kesemua barangan tegahan terbabit telah dirampas manakala mereka yang terlibat telah dibawa ke pejabat penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut.

Antara barangan yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa semasa pemeriksaan yang dijalankan di Kampung Mulaut, baru-baru ini.
Rokok pelbagai jenama yang ditemui dalam perahu di kawasan perairan Kampung Sungai Bunga.
Antara produk makanan yang ditemui dalam pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Mulaut pada 1 Oktober lalu.

Kenyataan menyatakan bahawa JKED seterusnya menyerahkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan barang yang dipercayai dadah jenis syabu kepada Biro Kawalan Narkotik (BKN).

Sementara itu, anggota peronda Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menemui 380 katon rokok pelbagai jenis dalam sebuah bot kecil tanpa pemandu yang ditemui di kawasan perairan Kampung Sungai Bunga.

Kejadian berlaku hari ini, sekitar awal pagi semasa polis peronda membuat rondaan di kawasan perairan Sungai Brunei dan telah menemukan dua buah bot yang sedang menghala ke kawasan perairan Tanjung Kindana dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik menyedari akan kehadiran pihak polis, kedua-dua bot berkenaan segera berpecah dan berpusing, salah sebuah bot menghala ke perairan negara jiran, manakala sebuah bot lagi menghala ke kawasan Kampung Perpindahan Sungai Bunga.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh PPDB, pemandu bot berkenaan berjaya melarikan diri.
Kesemua penemuan barang tegahan termasuk bot suspek dirampas dan diserahkan kepada pihak JKED bagi tindakan dan siasatan lanjut.

JKED dalam kenyataannya, menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindari kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut.