Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Lebih 600 orang hadiri KABSBM

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Lebih 600 orang menghadiri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa (KABSBM), hari ini.

    Siri kongres yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei itu berlangsung secara maya melalui platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom di mana ia telah dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Kongres dihadiri secara maya oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), para pemakalah dari dalam dan luar negara, mantan-mantan pengarah DBP, para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para pencinta bahasa dari dalam dan luar negara.

    Pada majlis perasmian kongres itu, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa DBP terus berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai jentera peradaban tamadun bangsa.

    Oleh itu, KABSBM merupakan salah satu inisiatif DBP dalam mengangkat sambutan Bulan Bahasa dan seterusnya menjadi medan penyebaran ilmu dalam mendaya upayakan pengembangan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam.

    Profesor Dr Haji Awang Asbol membentangkan ucaptama bertajuk, Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (1930-2008): Kajian Perbandingan Brunei dan Malaysia, semasa Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu bersempena Bulan Bahasa.

    Kongres berkenaan membawa tema ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ di mana ia didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

    Di majlis berkenaan, makalah ucaptama dibentangkan oleh Profesor Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail dari UBD dengan kertas kerja bertajuk ‘Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (1930-2008): Kajian Perbandingan Brunei dan Malaysia’.

    Dalam pembentangan itu, beliau antara lain membincangkan cabaran globalisasi yang dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara masing-masing apabila penggunaan Bahasa Inggeris semakin berleluasa dalam tempoh kajian berkenaan.

    Kertas kerja yang dibentangkan oleh para ilmuwan sepanjang kongres berkenaan sudah setentunya akan menjadi khazanah ilmu yang kekal sebagai sumber rujukan.

    KABSBM dilaksanakan secara bersiri bermula hari ini hingga 22 Jun dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu oleh pembentang satu kertas kerja bagi setiap satu sesi iaitu setiap Isnin dan Rabu.

    Oleh itu, seramai 23 orang pembentang makalah yang terdiri daripada pemakalah tempatan dan luar negara dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM berlangsung.

    Kongres itu bermatlamat untuk menggabungkan pakar bahasa, sastera dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan gagasan melalui dinamik pengalaman dan tingkat pengetahuan pakar yang berprestij.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...