Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Bagi lebih 600 orang pelajar baru yang memasuki Universiti Brunei Darussalam (UBD), ia bukan sahaja merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi mereka tetapi merupakan satu perjalanan ke peringkat kehidupan yang baru yang bakal menjadi laluan ke arah haluan kehidupan dewasa mereka.
Oleh itu Program Minggu Pelajar Baru merupakan program tahunan UBD bagi mengalu-alukan pelajar-pelajar baru UBD dan juga untuk memperkenalkan mereka kepada modal kursus serta membiasakan diri mereka kepada suasana pembelajaran di UBD.
Perkara itu dinyatakan oleh Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam kata alu-aluannya di Perasmian Minggu Pelajar Baru UBD bagi Pengambilan Januari 2017 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan ucapan khas di majlis berkenaan ialah Pemangku Naib Canselor UBD, Dayang Rubiah binti Haji Yacub.
Awang Saidai dalam kata alu-aluannya menyatakan lagi bahawa program itu diharap dapat memberikan pendedahan dan menerapkan elemen-elemen budaya pembelajaran di universiti iaitu peralihan daripada sistem pembelajaran di sekolah menengah ke sistem pembelajaran peringkat universiti yang berlainan daripada segi teknik pembelajaran dan juga persekitaran.


Sepanjang program empat hari itu, para pelajar akan mengikuti siri taklimat yang merangkumi hal ehwal berkaitan dengan keselamatan kampus, peraturan GenNEXT, peraturan peperiksaan serta taklimat dari Pusat Bahasa.
Bagi pengambilan Januari 2017, sebanyak 603 orang pelajar berjaya memasuki UBD termasuk pelajar-pelajar antarabangsa meliputi seramai 268 orang mahasiswa pasca ijazah (Sarjana dan Doktor Falsafah), 278 orang di peringkat Sarjana Muda, lapan orang mengambil Program Diploma dan seramai 49 orang mendaftar di bawah Program Unibridge.
Dua orang pelajar antarabangsa dari Hong Kong yang mengikuti pengajian sebagai pelajar Program Pertukaran Pelajar iaitu Eve Leung dari University of Hong Kong dan Cerise Ho dari Chinese University of Hong Kong ketika ditemui Media Permata, menyatakan perasaan gembira dan amat beruntung kerana berpeluang untuk mengikuti pengajian selama satu semester di UBD yang mana mereka merupakan pelajar pertama dari universiti masing-masing dipilih untuk menyertai program di UBD.
Menurut Eve Leung, Brunei mempunyai identiti dan keunikannya yang tersendiri dan bagi seorang pelajar bidang linguistik ia memberikan peluang kepadanya untuk mempelajari pelbagai bahasa dan program yang tidak ditawarkan di universitinya.
Di samping itu, UBD, jelasnya mempunyai program bahasa atau linguistik yang cemerlang dan percaya bahawa bukan sahaja beliau serta rakannya akan membawa pulang ilmu pengetahuan yang berguna tetapi juga akan mempelajari mengenai sejarah dan keunikan budaya masyarakat Brunei.
Minggu Pelajar Baru memberikan peluang kepada para pelajar baru untuk membincangkan mengenai isu peralihan mereka ke peringkat universiti dan panduan-panduan bagi pendaftaran kursus dan modul kepada pelajar baru, di samping membolehkan mereka berkenalan dengan rakan-rakan baru, pensyarah serta ahli fakulti masing-masing.

Di acara itu juga, para pelajar berpeluang untuk beramah-mesra dengan ahli-ahli fakulti, ketua program dan penyelaras kursus bagi mendedahkan mereka kepada pelbagai peluang yang ditawarkan di UBD.
Kegiatan-kegiatan Minggu Pelajar Baru itu merangkumi sesi taklimat mengenai pendaftaran kursus, peperiksaan, peluang yang terdapat dalam Tahun Penemuan, kelab kokurikulum UBD dan penginapan kampus.
Para pelajar juga diberikan taklimat mengenai penggunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran Atas Talian UBD, yang membolehkan mereka untuk menghantar dan menerima dokumen-dokumen bagi kursus mereka serta pengurusan kursus-kursus mereka secara atas talian.
Sebagai tambahan, lawatan kampus dan perpustakaan juga diadakan bagi mendedahkan mereka kepada kemudahan-kemudahan yang boleh membantu memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka di UBD.
Kegiatan keagamaan juga diadakan semasa minggu pelajar baru itu di mana Ceramah Bicara Ulum Ad-Din dihasratkan untuk memberikan motivasi kepada para pelajar yang memulakan kehidupan universiti mereka di UBD, mengetengahkan peranan pelajar-pelajar serta tanggungjawab mereka dalam perspektif Islam.